Assalamualaikum
semua…
Semoga
semuanya sihat-sihat sahaja…
Hari ini saya
tiba-tiba terfikir untuk berkongsi pengalaman saya yang berlaku pada minggu
lepas di mana mengalami keguguran pada minggu yang ke-8.
Punca terjadi
apabila berlaku ‘bleeding’ selang sehari.
Apabila
pemeriksaan di klinik dilakukan doktor
memberikan sejenis ubat penguat Rahim sementara
menunggu perkembangan janin selama 10 hari selepas itu.
Namun doctor juga
menasihatkan, apabila berlaku bleeding yang berterusan terus pergi ke hospital.
2 hari selepas itu
saya mengalami bleeding yang berterusan dan terus merujuk kepada Hospital Annur
Bandar Baru Bangi.
Pemeriksaan
secara terperinci dilakukan oleh Doktor favourite saya, Dr Khamsiah dan ujian
imbasan yang dilakukan sebanyak 2 kali di atas Rahim dan di dalam Rahim mendapati
perkembangan janin telah terhenti sejak minggu ke-6 lagi.
Justeru beliau
menasihatkan agar segera membuat D & C untuk mengelakkan rasa sakit serta
pendarahan berterusan berlaku dan juga boleh menyebabkan jangkitan kuman kepada
darah dalam badan.
Pilihan
diberi sama ada dibuat di hospital kerajaan atau di Annur sahaja.
Kos untuk D
& C adalah RM1800/- di mana prosedur menggunakan ‘suction’ tanpa perlu
menggunakan peralatan kuret yang menyakitkan dan pesakit juga akan dibius
sepenuhnya.
Pesakit juga
boleh pulang ke rumah pada hari yang sama. Mendengarkan itu, dan membayangkan
anak-anak yang tiada sesiapa yang akan menjaga selepas habis waktu sekolah saya
dan suami sepakat untuk melakukan di D & C di Annur pada petang yang
sama.
Semasa prosedur dijalankan saya langsung tidak sedar dan hanya sedar beberapa jam selepas itu setelah dihantar ke wad untuk berehat.
Setelah selsai urusan pembayaran dan proses 'discaj' saya pun dibenarkan pulang bersama-sama suami dan anak-anak... Mudah dan tidak menyakitkan.. alhamdulillah..
Tapi pantang tetap kena juga tau! hehe...
Sebenarnya
melalui pembacaan saya, ada perbezaan di antara D & C yang sebenar dengan
prosedur yang telah saya jalani, di mana ia dikenali sebagai ERPOC.
Uols mesti
nak tahukan apa perbezaan di Antara ERPOC dan D & C ni, betul?
Ok… jom kita
layan info mengenai beza antara ERPOC dan D & C ini supaya dapat
meningkatkan lagi pengetahuan kita sebagai ibu yang sangat berpengalaman J
Maksud ERPOC
Menurut Pakar
Obstetrik dan Ginekologi Pusat Perubatan Darul Ehsan (DEMC), Dr. Zamri Abd.
Rahim, ERPOC adalah kaedah mengeluarkan produk kandungan yang tertinggal dalam
uterus akibat keguguran. Kalau dahulu doktor menggunakan alat yang dipanggil
kuret dengan cara mencungkil bahagian dalam rahim untuk mengeluarkan produk
kandungan yang tertinggal, kini doktor akan menggunakan alat seperti vakum yang
lebih selamat. Di sesetengah tempat kaedah ini disebut D & C sedutan atau
ada juga yang memanggilnya dengan aspirasi vakum.
Prosedur
Ia merupakan
pembedahan minor yang selamat dan mengambil masa lebih kurang 20 minit.
Biasanya pesakit hanya perlu menjalani rawatan harian di hospital sama seperti
D & C. Mulanya pesakit akan dibius dan kemudian serviks akan dibuka
menggunakan dilator. ERPOC biasanya menggunakan dua jenis vakum sama ada vakum
elektrik (EVA) atau pam manual (MVA). Kanula (bahagian depan tiub) yang
disteril akan dimasukkan ke dalam uterus bersambung dengan tiub dari pam dan ia
menghasilkan vakum yang halus lalu menyedut seluruh kandungan dalam rahim.
Bila perlu menjalani ERPOC
Kandungan di
bawah 10 minggu boleh dicuci menggunakan ERPOC. Namun, bagi kandungan antara 11
hingga 15 minggu penyedut dengan diameter lebih besar akan digunakan dan
kadangkala memerlukan bantuan kuret bagi memudahkan proses dilakukan.
Bagi
kandungan yang telah mencapai minggu ke-16 hingga 24 pula, sejenis ubat seperti
prostagladin akan digunakan untuk membuka pintu rahim dengan lebih luas.
Kemudian kandungan akan dicungkil dengan kuret sebelum ERPOC dilakukan.
Sementara,
bagi kandungan melebihi minggu di atas, janin akan keluar seperti kelahiran
biasa.
Pertubuhan
Kesihatan Sedunia (WHO) menggalakkan wanita hamil yang mengalami keguguran
menjalani ERPOC dan sekiranya peralatan tiada barulah proses D & C
dibenarkan. Menurut perangkaan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit, hanya 2.4
peratus pengguguran menggunakan kaedah D & C pada tahun 2002, berbanding
23.4 peratus pada 1972.
Adakah ERPOC menyakitkan?
Tidak.
Pesakit tidak berasa sakit kerana dibius ketika proses dilakukan. Selepas itu,
pesakit mungkin mengalami sedikit kesakitan di bahagian perut seperti senak
atau kejang ketika haid namun ia tidak lama. Luka di bahagian rahim juga jarang
berlaku kerana ia tidak melibatkan proses kuretaj (menggunakan kuret).
Masyarakat
selalu berpandangan negatif terhadap D & C. Ada yang berpendapat ia boleh
menjejaskan kesuburan. Benarkah tanggapan ini?
Sebenarnya ia
boleh berlaku sekiranya prosedur ini tidak dijalankan dengan betul. Misalnya
pernah berlaku di mana kuret menerobos hingga keluar ataupun dinding rahim
tercedera kerana cungkilan yang kuat. Atau juga berlaku serviks terkoyak.
Apabila keadaan ini terjadi, sperma dan ovum yang sudah disenyawakan tidak
mampu menempel di bahagian rahim menyebabkan kandungan tidak menjadi.
Kegagalan
yang berlaku bukanlah disebabkan wanita tersebut tidak subur, tetapi keadaan di
rahimnya yang tidak mengizinkan kandungan untuk terus kekal.
Bagaimanapun,
kaedah ERPOC jauh lebih selamat berbanding D & C kerana ia jarang
melibatkan luka besar.
Masalah yang
direkodkan melalui kaedah ERPOC juga rendah iaitu 1.8 daripada 100,000 kes
berbanding 2.8 daripada 100,000 kes melalui kedah D & C.
Prosedur D & C
Alat Kuret
Terdapat
pelbagai jenis kuret yang digunakan dan ia berbeza mengikut negara. Alat kuret
dengan hujung yang tajam digunakan oleh Amerika Syarikat suatu masa dahulu. Di
negara ini, kuret seperti sudu yang panjang digunakan dan ia tidak tajam.
Sesetengah
pendapat mengesyorkan pengambilan sejenis ubat untuk membantu keguguran. Adakah
ia selamat dan apa kesannya dalam jangka masa panjang?
Sebenarnya
pengambilan ubat untuk menggugurkan kandungan tidak digalakkan bagi kandungan
yang melebihi enam minggu. Ini kerana mungkin kandungan tidak keluar
sepenuhnya, menyebabkan wanita hamil itu mengalami kesakitan yang teruk dan
perlu pula melalui proses ERPOC atau D & C. Bimbang juga berlaku komplikasi
terhadap wanita tadi.
Namun di
Barat, ubat seperti ini diberi kepada pesakit sebelum D & C dilakukan bagi
memudahkan prosesnya.
Setakat ini
belum terdapat kes yang menunjukkan ubat tersebut memberi kesan jangka panjang
kerana ia akan keluar dari badan melalui pelbagai proses seperti perpeluhan dan
perkumuhan.
Apa risiko D & C atau ERPOC?
Kuret boleh
menembusi dinding rahim jika tidak dilakukan dengan betul, pendarahan luar
biasa, kandungan masih tertinggal di dalam dan jangkitan kuman. Selain itu
ibu-ibu juga mungkin mengalami trauma kerana kesedihan akibat kandungan yang
tidak berjaya.
Walaupun
jarang sekali berlaku, ada juga individu yang mengalami Sindrom Asherman
selepas prosedur ini.
Akibatnya,
wanita berkenaan mungkin mengalami kemandulan disebabkan oleh penyembuhan
tisu-tisu di dalam rahim yang mendorong kepada berlakunya lekatan di antara
dinding-dinding.
Seterusnya,
kegagalan pertumbuhan kembali endometrium (dinding dalaman rahim untuk
persediaan persenyawaan) dan pendarahan haid bulanan mungkin tidak berlaku.
Pesakit
disarankan memaklumkan doktor pakar mereka sekiranya pendarahan haid menjadi
tidak menentu selepas D&C atau ERPOC.
Bagaimanakah D & C membantu?
Sekiranya
wanita mengalami endometrium polips, iaitu ketumbuhan pada dinding rahim yang
menyebabkan sukar mengandung, D & C boleh digunakan sebagai satu cara untuk
membuangnya. Ia sebenarnya membantu proses implantasi, bukan ovulasi.
Perlukah
wanita keguguran menjalani rawatan berpantang secara tradisional?
Sebenarnya ia
adalah tradisi ataupun praktis dalam masyarakat dan terpulang kepada mereka
untuk mengikutinya. Jika berasa selesa dengan cara itu boleh diteruskan, tapi
dalam dunia perubatan moden tiada pengesahan yang membuktikan kesahihannya.
Semoga info beza antara ERPOS dan D & C ini dapat menjadi ilmu yang sangat berguna kepada kita semua.. insya Allah...
Sampai bertemu lagi...