Beza antara ERPOC dan D & C



Assalamualaikum semua…

Semoga semuanya sihat-sihat sahaja…
Hari ini saya tiba-tiba terfikir untuk berkongsi pengalaman saya yang berlaku pada minggu lepas di mana mengalami keguguran pada minggu yang ke-8.

Punca terjadi apabila berlaku ‘bleeding’ selang sehari.
Apabila pemeriksaan di klinik dilakukan  doktor memberikan sejenis ubat  penguat Rahim sementara menunggu perkembangan janin selama 10 hari selepas itu.
Namun doctor juga menasihatkan, apabila berlaku bleeding yang berterusan terus pergi ke hospital.

2 hari selepas itu saya mengalami bleeding yang berterusan dan terus merujuk kepada Hospital Annur Bandar Baru Bangi.

Pemeriksaan secara terperinci dilakukan oleh Doktor favourite saya, Dr Khamsiah dan ujian imbasan yang dilakukan sebanyak 2 kali di atas Rahim dan di dalam Rahim mendapati perkembangan janin telah terhenti sejak minggu ke-6 lagi. 

Justeru beliau menasihatkan agar segera membuat D & C untuk mengelakkan rasa sakit serta pendarahan berterusan berlaku dan juga boleh menyebabkan jangkitan kuman kepada darah dalam badan.

Pilihan diberi sama ada dibuat di hospital kerajaan atau di Annur sahaja.
Kos untuk D & C adalah RM1800/- di mana prosedur menggunakan ‘suction’ tanpa perlu menggunakan peralatan kuret yang menyakitkan dan pesakit juga akan dibius sepenuhnya.

Pesakit juga boleh pulang ke rumah pada hari yang sama. Mendengarkan itu, dan membayangkan anak-anak yang tiada sesiapa yang akan menjaga selepas habis waktu sekolah saya dan suami sepakat untuk melakukan di D & C di Annur  pada petang yang sama. 

Semasa prosedur dijalankan saya langsung tidak sedar dan hanya sedar beberapa jam selepas itu setelah dihantar ke wad untuk berehat.

Setelah selsai urusan pembayaran dan proses 'discaj' saya pun dibenarkan pulang bersama-sama suami dan anak-anak... Mudah dan tidak menyakitkan.. alhamdulillah..
Tapi pantang tetap kena juga tau! hehe...


Sebenarnya melalui pembacaan saya, ada perbezaan di antara D & C yang sebenar dengan prosedur yang telah saya jalani, di mana ia dikenali sebagai ERPOC.

Uols mesti nak tahukan apa perbezaan di Antara ERPOC dan D & C ni, betul?

Ok… jom kita layan info mengenai beza antara ERPOC dan D & C ini supaya dapat meningkatkan lagi pengetahuan kita sebagai ibu yang sangat berpengalaman J


Maksud ERPOC

Menurut Pakar Obstetrik dan Ginekologi Pusat Perubatan Darul Ehsan (DEMC), Dr. Zamri Abd. Rahim, ERPOC adalah kaedah mengeluarkan produk kandungan yang tertinggal dalam uterus akibat keguguran. Kalau dahulu doktor menggunakan alat yang dipanggil kuret dengan cara mencungkil bahagian dalam rahim untuk mengeluarkan produk kandungan yang tertinggal, kini doktor akan menggunakan alat seperti vakum yang lebih selamat. Di sesetengah tempat kaedah ini disebut D & C sedutan atau ada juga yang memanggilnya dengan aspirasi vakum.




Prosedur

Ia merupakan pembedahan minor yang selamat dan mengambil masa lebih kurang 20 minit. Biasanya pesakit hanya perlu menjalani rawatan harian di hospital sama seperti D & C. Mulanya pesakit akan dibius dan kemudian serviks akan dibuka menggunakan dilator. ERPOC biasanya menggunakan dua jenis vakum sama ada vakum elektrik (EVA) atau pam manual (MVA). Kanula (bahagian depan tiub) yang disteril akan dimasukkan ke dalam uterus bersambung dengan tiub dari pam dan ia menghasilkan vakum yang halus lalu menyedut seluruh kandungan dalam rahim.


Bila perlu menjalani ERPOC

Kandungan di bawah 10 minggu boleh dicuci menggunakan ERPOC. Namun, bagi kandungan antara 11 hingga 15 minggu penyedut dengan diameter lebih besar akan digunakan dan kadangkala memerlukan bantuan kuret bagi memudahkan proses dilakukan.

Bagi kandungan yang telah mencapai minggu ke-16 hingga 24 pula, sejenis ubat seperti prostagladin akan digunakan untuk membuka pintu rahim dengan lebih luas. Kemudian kandungan akan dicungkil dengan kuret sebelum ERPOC dilakukan.

Sementara, bagi kandungan melebihi minggu di atas, janin akan keluar seperti kelahiran biasa.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menggalakkan wanita hamil yang mengalami keguguran menjalani ERPOC dan sekiranya peralatan tiada barulah proses D & C dibenarkan. Menurut perangkaan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit, hanya 2.4 peratus pengguguran menggunakan kaedah D & C pada tahun 2002, berbanding 23.4 peratus pada 1972.


Adakah ERPOC menyakitkan?

Tidak. Pesakit tidak berasa sakit kerana dibius ketika proses dilakukan. Selepas itu, pesakit mungkin mengalami sedikit kesakitan di bahagian perut seperti senak atau kejang ketika haid namun ia tidak lama. Luka di bahagian rahim juga jarang berlaku kerana ia tidak melibatkan proses kuretaj (menggunakan kuret).

Masyarakat selalu berpandangan negatif terhadap D & C. Ada yang berpendapat ia boleh menjejaskan kesuburan. Benarkah tanggapan ini?

Sebenarnya ia boleh berlaku sekiranya prosedur ini tidak dijalankan dengan betul. Misalnya pernah berlaku di mana kuret menerobos hingga keluar ataupun dinding rahim tercedera kerana cungkilan yang kuat. Atau juga berlaku serviks terkoyak. Apabila keadaan ini terjadi, sperma dan ovum yang sudah disenyawakan tidak mampu menempel di bahagian rahim menyebabkan kandungan tidak menjadi.

Kegagalan yang berlaku bukanlah disebabkan wanita tersebut tidak subur, tetapi keadaan di rahimnya yang tidak mengizinkan kandungan untuk terus kekal.

Bagaimanapun, kaedah ERPOC jauh lebih selamat berbanding D & C kerana ia jarang melibatkan luka besar.

Masalah yang direkodkan melalui kaedah ERPOC juga rendah iaitu 1.8 daripada 100,000 kes berbanding 2.8 daripada 100,000 kes melalui kedah D & C.


Prosedur D & C





Alat Kuret

Terdapat pelbagai jenis kuret yang digunakan dan ia berbeza mengikut negara. Alat kuret dengan hujung yang tajam digunakan oleh Amerika Syarikat suatu masa dahulu. Di negara ini, kuret seperti sudu yang panjang digunakan dan ia tidak tajam.

Sesetengah pendapat mengesyorkan pengambilan sejenis ubat untuk membantu keguguran. Adakah ia selamat dan apa kesannya dalam jangka masa panjang?

Sebenarnya pengambilan ubat untuk menggugurkan kandungan tidak digalakkan bagi kandungan yang melebihi enam minggu. Ini kerana mungkin kandungan tidak keluar sepenuhnya, menyebabkan wanita hamil itu mengalami kesakitan yang teruk dan perlu pula melalui proses ERPOC atau D & C. Bimbang juga berlaku komplikasi terhadap wanita tadi.

Namun di Barat, ubat seperti ini diberi kepada pesakit sebelum D & C dilakukan bagi memudahkan prosesnya.

Setakat ini belum terdapat kes yang menunjukkan ubat tersebut memberi kesan jangka panjang kerana ia akan keluar dari badan melalui pelbagai proses seperti perpeluhan dan perkumuhan.


Apa risiko D & C atau ERPOC?

Kuret boleh menembusi dinding rahim jika tidak dilakukan dengan betul, pendarahan luar biasa, kandungan masih tertinggal di dalam dan jangkitan kuman. Selain itu ibu-ibu juga mungkin mengalami trauma kerana kesedihan akibat kandungan yang tidak berjaya.

Walaupun jarang sekali berlaku, ada juga individu yang mengalami Sindrom Asherman selepas prosedur ini.

Akibatnya, wanita berkenaan mungkin mengalami kemandulan disebabkan oleh penyembuhan tisu-tisu di dalam rahim yang mendorong kepada berlakunya lekatan di antara dinding-dinding.

Seterusnya, kegagalan pertumbuhan kembali endometrium (dinding dalaman rahim untuk persediaan persenyawaan) dan pendarahan haid bulanan mungkin tidak berlaku.

Pesakit disarankan memaklumkan doktor pakar mereka sekiranya pendarahan haid menjadi tidak menentu selepas D&C atau ERPOC.


Bagaimanakah D & C membantu?

Sekiranya wanita mengalami endometrium polips, iaitu ketumbuhan pada dinding rahim yang menyebabkan sukar mengandung, D & C boleh digunakan sebagai satu cara untuk membuangnya. Ia sebenarnya membantu proses implantasi, bukan ovulasi.

Perlukah wanita keguguran menjalani rawatan berpantang secara tradisional?

Sebenarnya ia adalah tradisi ataupun praktis dalam masyarakat dan terpulang kepada mereka untuk mengikutinya. Jika berasa selesa dengan cara itu boleh diteruskan, tapi dalam dunia perubatan moden tiada pengesahan yang membuktikan kesahihannya.

Semoga info beza antara ERPOS dan D & C ini dapat menjadi ilmu yang sangat berguna kepada kita semua.. insya Allah...

Sampai bertemu lagi... 


No comments:

Post a Comment