Anda biasa tengok anak-anak mengamuk secara tiba-tiba?
Perkara ini sering terjadi kepada anak-anak di dalam lingkungan usia 2 tahun.
Pada masa ini mereka belum pandai mengawal emosi, menunjukkan kemarahan dengan cara yang betul dan berlaku proses regresi dan fixation dalam perkembangan.
Adakalanya mereka melepaskan kemarahan dengan melakukan pelbagai perkara seperti menangis dengan kuat, berguling di atas lantai, menjerit, melemparkan barang, memukul adik, menendang dan memukul ibu tanpa henti..
Ya ini inilah yang disebut sebagai 'Temper Tantrum' di kalangan kanak-kanak.
Ramai yang tidak menyedari apakah punca Temper Tantrum di kalangan kanak-kanak ini.
Justeru saya kongsikan sebab atau punca terjadinya Temper Tantrum di kalangan kanak-kanak di bawah ini:-
Punca
Keadaan fizikal ~ seperti kelaparan, keletihan dan sakit di mana-mana bahagian tubuh badan mereka.
Emosi ~ Emosi tertekan yang wujud dari kejadian di sekolah ataupun di rumah, seperti barang mereka dirampas oleh seseorang yang lain.
Cemburu ~ contohnya seperti baru mendapat adik atau mereka nampak ibu melebihkan perhatian kepada adik berbanding mereka. Mereka akan lebih tertekan apabila disuruh mengalah. Jangan sesekali membuat perbandingan diri mereka dengan adik atau abang mereka kerana ini akan membuatkan mereka lebih merasa tertekan.
Perasaan-perasaan ini sekiranya tidak dibendung akan membuatkan kanak-kanak bertukar menjadi temper tantrum. Itu sebabnya kadang kala secara tiba-tiba kanak-kanak terus megamuk tanpa boleh dikawal pada masa tersebut.
Langkah Pencegahan
Apa nak buat jika tantrum berterusan?
- Jangan marah, sebaliknya cuba bertenang dan senyum.
- Cuba fahami mengapa si kecil anda marah.
- Alih perhatiannya.
- Dakapnya, belai rambutnya dan tenangkan dia – mungkin kadang kala anak-anak akan terus menjerit, jadi tinggalkan dia sekejap. Jangan pedulikan dia dan lihat bagaimana reaksinya.
Tips menangani temper tantrum di kalangan kanak-kanak
- Konsisten ~ Adakan rutin harian yang tetap bagi memudahkan jangkaan anak seperti waktu tidur mengikut waktu ditetapkan.
- Buat perancangan awal ~ Jika perlu membeli-belah barangan keperluan, lakukan seawal mungkin iaitu pada waktu pagi ketika anak tidak lapar atau keletihan. Bawa sekali bekalan snek atau permainan untuk anak jika ada kemungkinan anda perlu beratur panjang.
- Kreatif ~ Galakkan anak anda bercakap. Jika dia masih belum boleh bertutur, gunakan kreativiti anda dengan mengajarnya bahasa isyarat ringkas dan mudah difahami bagi merujuk perkataan seperti ‘Saya Mahu’, ‘Cukup’, ‘Sakit’ dan ‘Penat’. Lebih mudah komunikasi anda dan anak, lebih kurang anda berdepan masalah anak.
- Buat pilihan ~ Benarkan anak kecil membuat pilihan bagi membolehkannya berasakan dia juga boleh memilih. Ini seperti menyuruhnya memilih antara baju warna putih atau biru, jenis buah-buahan yang diingininya atau mainan pilihan.
- Beri pujian ~ Pujilah anak anda jika dia berkelakuan baik seperti berkongsi mainan, patuh dan mendengar arahan.
Semoga tajuk 'Temper Tantrum' ini dapat memberikan kesedaran serta menambahkan poengetahuan kita sebagai ibu bapa!
No comments:
Post a Comment